Tuesday, September 13, 2011
Jodoh Dulu dan Jodoh Sekarang
Pada zaman dulu, pemilihan jodoh dalam suatu perkahwinan itu kebanyakannya ditentukan oleh ibubapa. Ibubapa memainkan peranan penting dalam menentukan jodoh untuk anak-anaknya. Di masa itu istilah ‘cinta dulu kemudian kahwin’ hampir tidak ada samasekali, yang ada hanyalah ‘kahwin dulu kemudian cinta’. Ibubapa akan memilih gadis-gadis yang baik untuk dijadikan menantunya. Cantik seorang gadis itu bukanlah menjadi ciri utama dalam memilih menantu. Keutamaan adalah kepada budi bahasa dan adab sopan si gadis tersebut serta kebolehannya mengurus rumah tangga seperti pandai mengemas, pandai memasak dan tidak keluar rumah dengan sesuka hatinya. Gadis-gadis yang tidak mempunyai ciri-ciri seperti yang disebutkan itu alamat sukarlah untuk mendapatkan jodohnya sekalipun rupa parasnya memang ada.
Di waktu itu, sangat malulah kalau seorang gadis itu lambat dipinang orang, kerana ia memberi makna perangai gadis itu terlalu teruk sehinggakan tiada siapa yang ingin hendak mengambilnya menjadi menantu. Oleh itu semua anak-anak gadis di waktu itu akan cuba menjadi gadis yang diinginkan oleh calon mertuanya. Berlumba-lumbalah mereka untuk menghayati dan mengamalkan ciri-ciri yang disebutkan tadi walaupun pada mulanya mungkin kerana terpaksa tetapi lama kelamaan ia menjadi suatu kebiasaan. Amalan memilih jodoh di zaman dulu itu secara tidak langsung dapat mengawal anak-anak gadis supaya berkelakuan baik.
Pada masa ini kaum wanita mendapat peluang untuk bekerja, sama seperti kaum lelaki. Setelah tamat persekolahan anak-anak muda ini samada perempuan atau lelaki akan cuba mendapatkan pekerjaan yang banyak terdapat di bandar. Di zaman dulu adalah suatu yang janggal jika ada ibubapa yang membenarkan anak perempuannya bekerja apatah lagi kalau tinggal berjauhan. Apabila anak-anak perempuan bekerja dan tinggal berjauhan dengan ibubapa maka mereka akan terlepas dari kawalan ibubapa. Peluang untuk anak-anak perempuan yang bekerja ini untuk bertemu dengan kaum lelaki lebih mudah lagi. Perubahan sosio budaya masyarakat Melayu ini juga telah memberi kesan kepada cara pemilihan jodoh dalam masyarakat itu sendiri. Pada hari ini, anak-anak muda tidak mahu lagi jodoh mereka ditentukan oleh orang tua mereka. Sebaliknya mereka sendirilah yang mencari dan memilih teman yang mereka suka untuk menjadi calon isteri atau calon suami. Bagi lelaki, mereka akan memilih gadis yang cantik lagi menawan untuk menjadi suri rumah tangganya. Tidak seperti pilihan orang tua, anak-anak muda ini kadang kala memilih pasangannya hanya mengikut kehendak nafsu mereka semata-mata. Memanglah benar rupa paras yang cantik itu penting untuk menarik seorang lelaki itu untuk berkahwin, tetapi rupa paras yang cantik sahaja tidak cukup untuk mengekalkan sesuatu perkahwinan atau membahagiakan perkahwinan itu. Nilai yang baik seperti berbudi bahasa, pandai berkemas, pandai memasak yang selalu ditekankan oleh orang tua itulah yang biasanya dapat mengekalkan dan membahagiakan sesuatu rumah tangga itu.
Oleh kerana rupa paras yang cantik mejadi pilihan dan rebutan maka kebanyakan anak gadis sekarang terus mengabaikan tugas-tugas yang biasanya dilakukan oleh seorang wanita seperti mengemas rumah dan memasak. Budi bahasa dan adab sopan tidak perlu diambil berat lagi dan perkara yang penting kepada mereka sekarang ialah mesti pandai berhias diri dan bergaya. Kalau ada rupa dan gaya tentunya jodoh tidak ke mana. Banyaklah yang kita dengar hari ini, walaupun seorang gadis itu malas berkemas, malas memasak, tidak sopan santun tetapi kahwin juga dia. Ini tidaklah menghairankan kerana rupa parasnya yang cantik telah menyebabkan dia mendapat jodoh.
Gadis-gadis yang terperap di dalam rumah yang suatu masa dulu sebagai lambang gadis suci tentulah sukar mendapat jodohnya di zaman ini. Tidak hairanlah kalau anak-anak gadis sekarang jarang lekat di rumah. Teruna mana yang dapat mereka temui kalau hanya terperap di rumah, alamat jadi anak dara tualah kalau mereka masih juga mahu memerap di rumah. Di majlis-majlis keramaian, di pesta-pesta hiburan, di bandar-bandar adalah tempat anak-anak muda kita hari ini mencari jodoh mereka. Mana yang mereka rasa berkenan akan mereka pikat untuk dijadikan kekasih atau calon isteri. Itulah antara sebabnya banyak rumah tangga hari ini porak puranda dan tidak bahagia kerana asas yang dipilih untuk menjadi isteri atau suami bukan lagi pada nilai-nilai yang baik tetapi sebaliknya banyak berasaskan nafsu semata. Tidak dapat dinafikan cara pemilihan jodoh yang diamalkan pada hari ini telah menyumbang kepada keruntuhan akhlak masyarakat kita hari ini.
Mana satu pilihan saudaraku semua?
Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanya pada diri sebelum memilih seseorang sebagai pasangan hidup. Islam menegaskan pilihan hendaklah berasaskan kepada yang kuat berpegang kepada agama dan berakhlak mulia serta mempastikan samada sudah dipinang atau belum dan berbagai-bagai lagi.
Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:
"Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, kerana boleh jadi mereka akan merugikan. Dan jangan kerana hartanya, kerana boleh jadi mereka akan mendurhakai. tetapi kahwinlah kerana agamanya. Sesungguhnya seorang budak perempuan hitam yang pecah hidungnya tapi beragama adalah lebih baik."
Baginda bersabda lagi yang maksudnya:
"Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya dan elok rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa yang berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh Allah swt akan dia akan hartanya dan eloknya."
Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calun isteri orang yang beragama serta berakhlak mulia, kerana bila isteri itu kuat beribadah akan membuahkan akhlak yang mulia maka rezeki dan hartanya dimurahkan Allah swt.
sumber : http://halaqah.net/v10/index.php?topic=8587.0
P/s : suruh parents cari calon ^_^
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment